ANALISIS ITEM UJIAN TAHAP PENGUASAAN ILMU NAHU PELAJAR SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM)
ANALYSIS ON TEST ITEMS FOR LEVEL OF GRAMMAR MASTERY AMONG STUDENTS IN MALAYSIA HIGHER RELIGIOUS CERTIFICATE (STAM)
Keywords:
penguasaan, nahu, STAM, SMAN, SABK, SMARAbstract
Pelbagai kajian yang berkaitan dengan ilmu nahu telah dilaksanakan oleh ramai ahli akademik. Namun kebanyakan kajian hanya memberi fokus kepada topik tertentu sahaja dalam ilmu nahu. Kajian ini merupakan kajian rintis yang bertujuan untuk menganalisis item ujian tahap penguasaan ilmu nahu. Ujian ini merangkumi semua topik yang terkandung dalam buku teks ilmu nahu yang digunakan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kajian ini juga bertujuan untuk menilai kesahan dan kebolehpercayaan item instrumen kajian. Kajian ini melibatkan seramai 30 responden daripada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di negeri Perak. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik bertujuan mendapatkan maklumat demografi responden dan satu set ujian tahap penguasaan ilmu nahu. Hasil kajian mendapati 7 item perlu disingkirkan daripada 50 item ujian. Sebanyak 43 item akan digunakan dalam kajian sebenar. Indeks kesukaran dan indeks diskriminasi item digunakan untuk menilai kesesuaian item ujian. Item ujian ini dianalisis menggunakan perisian PediA versi 3. Kesahan set ujian tahap penguasaan ilmu nahu diperolehi daripada 2 orang pakar penilai melalui kesahan muka dan kesahan kandungan.Kebolehpercayaan item ujian diukur menggunakan formula Kuder-Richardson (KR-20) melalui perisian Microsoft Excel. Nilai KR-20 untuk keseluruhan item ujian ini adalah 0.8763. Konstruk yang diukur adalah pengetahuan, kefahaman dan kemahiran. Untuk konstruk pengetahuan nilai KR-20 yang diperolehi adalah 0.7214, konstruk kefahaman 0.6848 dan konstruk kemahiran 0.734. Nilai yang diperolehi ini menunjukkan ketekalan dalaman set ujian dan kebolehpercayaan item adalah tinggi dan sesuai untuk digunakan dalam kajian sebenar.Downloads
Download data is not yet available.
