Dasar Pendidikan Tahfiz Negara: Pelaksanaan di Kementerian Pendidikan Malaysia
Keywords:
al-quran, tahfiz, kurikulum, quranik, ensaiklopedik, ijtihadikAbstract
Di Malaysia, mutakhir ini pengajian dalam bidang tahfiz al-Quran semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat. Ini terbukti daripada jumlah bilangan permohonan calon untuk memasuki institusi dan pusat tahfiz setiap tahun sama ada di pusat-pusat dan maahad-maahad tahfiz yang diasaskan secara persendirian, di bawah kelolaan kerajaan negeri mahupun persekutuan. Permintaan yang tinggi ini telah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan perkembangan kurikulum tahfiz berjalan dengan seimbang di negara ini. Justeru itu, berdasarkan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia komited di dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya di dalam pasaran kerja berteraskan nilai Islam yang kukuh. Pada 7 Disember 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara mulai tahun 2014 dengan tiga buah sekolah telah terpilih untuk melaksanakan TMUA. Mulai tahun 2017, TMUA telah berjaya dilaksanakan mengikut perancangan KPM iaitu sebuah sekolah TMUA bagi setiap negeri di Malaysia.